Sate Bau Bangkai

AYER KEROH - Kerajaan negeri memandang serius terhadap aduan pengguna baru-baru ini berhubung peniaga makanan sebuah pasar malam dalam kawasan Masjid Tanah yang menyediakan makanan basi serta berbau bangkai.
Justeru, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya mempertingkatkan pemantauan terutama sepanjang Ramadan agar semua pengusaha perniagaan makanan dan minuman menjaga kebersihan serta mematuhi garis panduan penyediaan makanan.

“Kita menerima aduan daripada pihak pengguna tentang kebersihan makanan yang dijual di pasar malam. Kita minta peniaga berhati-hati kerana sepanjang Ramadan kebanyakan peniaga akan cuba menyegerakan konsep penyediaan makanan dan kemungkinan mula dilakukan selepas sahur.

“Aduan yang kita terima makanan yang dijual basi dan juga hidangan sate hati ayam dan sate ayam yang berbau bangkai. Ini yang kita terima.

“Kita rasa ia perlu diketengahkan aduan ini supaya peniaga-peniaga mengambil maklum bahawa mereka bertanggungjawab menyediakan makanan berkualiti di bulan Ramadan dan tidak mengambil mudah akan hal ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Negeri, di sini semalam.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri masih lagi mengekalkan format penyampaian bantuan Ramadan, namun tidak lagi melakukannya ketika waktu berbuka puasa.

“Disebabkan kita telah mengalami beberapa pengalaman apabila lepas berbuka puasa semua pulang ke rumah dan masjid kosong kerana selalunya tapak penyampaian ini di halaman masjid dan sebagainya.

“Kali ini, kita anjurkan di dalam dewan dan waktunya kita tukar kepada jam 2.30 hingga jam 4.30 petang. Jadi penerima bantuan boleh pulang ke rumah masing-masing selepas selesai majlis. Kita nampak penerima lebih gemar berbuka di rumah.

“Duit peruntukan yang sepatutnya kita bayar untuk menyewa khemah dan juga membeli makanan berbuka puasa akan kita gunakan untuk beli beras dan gula dan kita serahkan kembali pada penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata, program juga telah dilaksana di Tangga Batu baru-baru ini dan ia amat berkesan apabila program bermula jam 2.30 dan selesai 4.30 petang sehingga nampak ramai pihak gembira dengan cara tersebut.


Sumber

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...