Pembuli Jalanan Dah Kantoi Baru Tergadah

Kuala Lumpur: Tendang, tumbuk, maki hamun, tetapi akhirnya minta maaf dan mahu bayar ganti rugi selepas perbuatannya ‘viral’ di laman sosial Facebook.
Itu dilakukan pembuli jalanan yang menyerang seorang lelaki yang dalam perjalanan menghantar enam pelajar tahfiz menghadiri Majlis Khatam Al Quran dan jamuan berbuka puasa berhampiran Bulatan Duta-Segambut, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Zul Fadlain Abdullah, 38, berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu pembuli jalanan itu memotong keretanya dari belakang hingga berlaku pelanggaran.

"Pemandu kereta itu bertindak memotong kereta saya dengan cara merbahaya. Akibatnya kereta kami bergesel di bahagian kiri.
"Saya yang terkejut dengan kejadian itu segera memberhentikan kereta,” katanya.

Menurut Mohd Zul Fadlain, lelaki itu kemudian keluar dari kereta dalam keadaan marah sebelum bertindak menendang lampu keretanya hingga pecah.

“Lelaki itu turut memecahkan cermin sisi kereta saya," katanya.
Katanya, dia kemudian menurunkan cermin pintu kereta untuk berbincang dengan lelaki terbabit.

“Namun lelaki itu sebaliknya mengajak saya bergaduh sambil mengeluarkan kata-kata cacian.

“Dia kemudian menumbuk saya beberapa kali di bahagian lengan dan muka sebelum melarikan diri," katanya.

Susulan itu, Mohd Zul Fadlain membuat laporan polis di Balai Polis Sentul di sini.

Katanya, dia dihubungi lelaki terbabit yang meminta maaf serta mahu menyelesaikan perkara itu termasuk membayar ganti rugi.

"Bagi saya, dia perlu diberi pengajaran setimpal berikutan perbuatannya amat melampau apatah lagi di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Suspek menyerah diri di balai polis dan bakal didakwa di mahkamah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...