Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.
Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain.
Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.
Cerita Sang Kelembai sangat popular dikalangan masyarakat melayu yang tinggal di Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan masing-masing mempunyai versi cerita yang berbeza.
Versi Perak
Diceritakan, pada suatu hari Sang Kelembai sedang membuat belat ikan merentangi Sungai Perak tiba-tiba turun lima ekor gajah untuk mandi-manda disitu dan membuat bising hingga mengganggu ikan yang ingin ditangkap oleh Sang Kelembai. Lantaran daripada itu, ia hilang sabar lalu bertempik menyebabkan 5 ekor gajah sekali gus menjadi batu. Batu itu masih ada di Kampung Ara Panjang.
Batu berbentuk seakan-akan gajah di Batu Gajah, Perak
Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah-gajah di situ telah membuat bising dan telah ditegur oleh Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.
Dikatakan juga, pemukaan berbatu di sekitar air terjun Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas terbentuk hasil sumpahan Sang Kelembai selepas berang ekoran anaknya mati dihempap pokok.
Versi Pahang
Menurut cerita orang-orang tua di Kampung Batu Sawar, terdapat sebuah batu berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut. Batu ini dikatakan terkena sumpahan Sang Kelembai kerana menghalang laluannya. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung tersebut.
Kisah Sang Kelembai di Kuala Tahan biasa diperkatakan dikalangan masyarakat kampung dan orang asli suku kaum Batek dan Semelai. Di khabarkan, ia suka singgah di kawasan air terjun 4 tingkat dan sebuah taman yang kini digelar sebagai ‘Wray’s Camp’ disebabkan keindahannya. Terdapat juga kesan tapak kakinya di puncak Gunung Tahan.
Tapak kaki yang dikatakan milik Sang Kelembai di puncak Gunung Tahan
Banyak kawasan kampung dikaitkan dengan kisah Sang Kelembai. Antaranya ialah Batu Papan, Gua Kota Gelanggi dan Batu Katak.
Di Gua Kota Gelanggi ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.
Versi Kedah
Di Kodiang, terdapat batu seperti seekor kerbau yang dikatakan di sumpah oleh Sang Kelembai di Gua Kerbau yang mana, satu daripada gunung disitu menjadi destinasi pelancongan terkenal.
Versi Pulau Pinang
Pulau Pinang juga turut mendapat tempias Sang Kelembai. Di Batu Maung, Pulau Pinang, kesan tapak kaki sepanjang 33 inci yang ditemui dan dipercayai tapak kaki Sang Kelembai. Kesan tapak kaki yang sama turut ditemui di Bayan Lepas, Pulau Jerejak dan Pulau Aman.
Memandangkan kesan tapak kaki Sang Kelembai sudah wujud beratus tahun di beberapa pulau sekitar Pulau Pinang, penduduk berbilang bangsa di sana mempunyai pelbagai cerita dan kepercayaan tentang Gedembai, mengikut budaya masing-masing.
*****
Masyarakat Melayu dahulu sering mengaitkan sesuatu penyakit atau kejadian pelik dengan alasan yang tidak rasional. Contohnya, bentuk batu-batu aneh dan batu menyerupai manusia yang dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang larang orang tua-tua.
Mungkin cerita mengenai Sang Kelembai direka bagi menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak bermain jauh dari rumah hingga ke kawasan hutan.
Kini, kisah Sang Kelembai dan sumpahannya kian dilupakan saban hari, namun namanya masih menjadi cerita lagenda yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>
Gambar batu berbentuk gajah dalam artikel ni sebenarnya terletak di Kampung Changkat melintang, Perak di dalam sungai mati (tasik ladam) di belakang Hospital Changkat Melintang.
ReplyDelete