Kisah Sedih Di Sebalik Taj Mahal


Shah Jahan dan Mumtaz

Tahun 1631 bersamaan dengan tahun ke-1040 Hijrah, pada suatu hari yang panas dan kering, Mumtaz sarat mengandung kali ke-14 dan menunggu waktu untuk melahirkan anak. Dia berusia 38 tahun. Tetapi, ketika itu, ada perkara yang tak kena dengan kandungannya.

Tiba-tiba kita membayangkan suasana jadi cemas. Shah Jahan dan Mumtaz melupakan permainan catur yang sedang dinikmati. Darah terus menerus keluar tanpa henti dan membuatkan Mumtaz semakin lemah. Doktor-doktor yang dibawa waktu itu juga tidak mampu melakukan apa-apa.

Di hujung nyawa ketika itu, Mumtaz kemudiannya membisikkan sesuatu kepada telinga suaminya. Pertama, Mumtaz meminta agar Shah Jahan memelihara cinta abadi mereka dan berjanji untuk tidak berkahwin lagi.

Sebagai permintaan terakhir, Mumtaz mahukan sebuah tempat persemadian umpama mahligai di dunia, sama seperti apa yang pernah hadir dalam mimpinya. Selepas beberapa ketika melahirkan bayi perempuan itu, catatan sejarah mengingatkan kita bagaimana pemergian Mumtaz waktu itu dengan baris ayat-ayat ini:

Ketika dia membawa keluar mutiara terakhir itu, dia mengosongkan badannya sama seperti tiram.

Mumtaz tiada lagi. Shah Jahan waktu itu kecundang kepada perasaan sendiri. Dua tahun dia menyepi diri dan yang terlekat di fikirannya adalah bayangan mahligai yang diminta oleh isteri tersayang yang sudah pergi.

Dalam tempoh itu, dia mendiamkan diri, mencari dan memikirkan batu-batu permata dan kain pakaian yang sesuai untuk dikenakan bagi mengingati pemergian Mumtaz.

Apa yang masih tersisa hari ini adalah hasilnya. Taj Mahal, yang tidak diketahui secara sahih siapakah arkiteknya siap. Memang Shah Jahan yang mengusahakan pembinaan itu.

Dia memanggil tukang seni dari segenap rantau, antaranya Amanat Khan, seorang tukang kaligrafi dari Shiraz di Iran. Dia merupakan satu-satunya individu yang dibenarkan oleh Shah Jahan untuk meninggalkan sentuhan kaligrafinya pada tembok dan dinding di Taj Mahal.

Tetapi, simbol yang sepatutnya bertahan lama dan untuk kebaikan itu diconteng arang. Taj Mahal menjadi antara kemegahan empayar Moghul dan dihormati seluruh dunia.

Kerana kepentingan strategiknya itu jugalah membuatkan ramai orang yang cemburu dan ingin memiliki Taj Mahal. Lebih tragis, perebutan itu bukanlah orang yang berada jauh daripada Shah Jahan. Anak Shah Jahan sendiri, Aurangzeb menjadi pencemar.

Ketika hayat Shah Jahan sepanjang usia 73 tahun, beliau sempat melihat anak-anaknya bergaduh sesama sendiri. Aurangzeb membunuh dua adik-beradiknya dan beberapa orang lagi cucu Shah Jahan.

Shah Jahan sendiri menghabiskan sisa hidupnya di dalam kurungan penjara di Kota Merah, tidak berapa jauh dari Taj Mahal. Dari kota itulah Shah Jahan melalui hari-hari terakhir dengan meninjau keluar jendela. Melihat sungai Jumna yang mengalir lesu dan tentunya meratapi dalam kesedihan ketika melihat Taj Mahal.

Apa yang sepatutnya menjadi satu mahligai yang suci telah bertukar menjadi bencana besar bagi empayar Moghul. Kekuasaan, ketamakan dan nafsu adalah perkara yang sudah lama merobohkan Taj Mahal. Tiada siapa mengetahui apa yang dirasakan oleh Shah Jahan ketika menghembus nafas. Tetapi, kesedihan tentunya menjadi teman paling akrabnya waktu itu.

Untuk kita yang masih hidup hari ini, Taj Mahal sekurang-kurangnya mengingatkan kita bahawa di dunia ini masih ada sebuah lagi tugu cinta yang menjadi simbol kepada kehidupan yang sepatutnya menjadi lebih baik.

Cinta masih mekar di hati Shah Jahan dan Mumtaz Mahal. Begitu jugalah hendaknya kepada seluruh umat manusia.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...