Sejarah Ubat Batuk Cap Ibu Dan Anak

Selain ubat batuk, jenama Cap Ibu dan Anak juga mempunyai produk jenis gula-gula.

UBAT batuk Cap Ibu dan Anak, tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini kerana ia membantu melegakan batuk, ketidakselesaan atau kesakitan tekak.

Produk keluaran Nin Jiom Medicine Mfy (HK) Ltd, dari Hong Kong itu, merupakan ubat herba asli tradisional orang Cina, yang dipanggil sebagai Nin Jiom Pei Pa Koa, dalam Bahasa Cina, tetapi di Malaysia, jenama itu dikenali sebagai ubat batuk Cap Ibu dan Anak.

Formula ubat itu dibangunkan daripada preskripsi ditulis Dr Ip Tin-See, seorang doktor bagi keluarga diraja.

Ramuan yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu, menepati keperluan moden pada hari ini.

Sejarah ubat batuk itu bermula ketika zaman Dinasti Qing lagi, apabila seorang komander wilayah, dipanggil Yang Xiaolian meminta bantuan Dr Tin-See merawat ibunya, yang batuk berterusan selama beberapa bulan.

Doktor itu memberikan campuran herba semula jadi dan madu, yang akhirnya menyembuhkan ibu Xiaolian.

Kagum dengan hasilnya, ibu Xiaolian meminta anaknya menghasilkan ubat batuk secara meluas bagi membantu mengubati orang lain, yang mengalami penyakit sama.

Keluarga Xiaolian kemudian menubuhkan sebuah kilang di Beijing, bagi mengeluarkan ubat batuk dinamakan ‘Nin Jiom’ (ibu saya dalam ingatan) Pei Pa Koa (sirap lokuat).

Semasa Perang China-Jepun, keluarga Yang melarikan diri ke Hong Kong, sebelum berhijrah ke Brazil.

Namun kerana memerlukan wang untuk berhijrah, selain khuatir kehilangan formula ubat batuk tersebut, keluarga Yang menjual perniagaan mereka, kepada pengamal perubatan Cina tempatan, Tse Siu-Bong.

Siu-Bong kemudian menghasilkan sirap batuk di kedai perubatan Cina dan membuka syarikat Nin Jiom Medicine Manufacturing (HK) Ltd, diperbadankan pada 1962, beribu pejabat di Hong Kong, serta menubuhkan kilang pengeluaran di Taiwan dan Singapura.

Pada lewat 1970-an, rangkaian pengedaran produk jenama itu diperluaskan lagi ke Asia Tenggara.

Kini, syarikat itu telah membina satu rangkaian jualan global yang merangkumi lebih 20 negara.

Selain ubat batuk, jenama Cap Ibu dan Anak turut mempunyai rangkaian produk 'candy' (gula-gula) dalam tiga perisa pilihan, iaitu original, super mint dan tangerine-lemon.


LIKE FACEBOOK PAGE KAMI UNTUK UPDATE LEBIH PANTAS

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...